TALLAHASSEE, FLORIDA – Seorang lelaki berlari berkaki ayam di tepi lebuh raya di negeri Florida bagi menangkap seekor aligator dengan tangan kosong, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Veteran marin, Mike Dragich dirakam cuba menangkap reptilia itu di lebuh raya I-95 dengan hanya berseluar pendek, berbaju singlet dan tidak memakai kasut.
“Tidak, ia bukan silap mata. Kejadian itu benar-benar berlaku,” kata hantaran media sosial Pejabat Syerif Jacksonville yang memuat naik video mengenainya.
Dalam video tersebut, Dragich dilihat cuba memusingkan badan aligator itu untuk memasukkan mulutnya ke dalam batang perangkap.
Dia kemudian melompat duduk di belakang reptilia berkenaan dan memegang rahangnya sebelum berjaya menutup mulut haiwan itu.
Video itu berakhir apabila Dragich dan syerif meletakkan aligator tersebut ke bahagian belakang trak. – AGENSI