Lelaki kebal dipatuk ular 200 kali

VIRAL TIM scaled

FRIEDE pernah dipatuk dua ular tedung Mesir pada 2001. – AFP

LONDON – Seorang saintis menyuntik dirinya dengan bisa ular lebih 850 kali untuk mencipta penawar atau anti-bisa yang ‘tiada tolok banding’ di dalam darahnya, lapor sebuah akhbar semalam.  

Saintis berkenaan, Tim Friede membiarkan ular berbisa menggigitnya lebih 200 kali dalam tempoh 18 tahun, malah dia pernah koma selepas digigit dua ekor ular tedung.  

Misi Friede adalah untuk menjadikan dirinya kebal  terhadap bisa ular agar saintis-saintis  dapat menghasilkan ‘anti-bisa sejagat’.  

Friede kerap mendedahkan dirinya kepada bisa  yang begitu bahaya sehinggakan boleh membunuh seekor kuda tetapi usaha saintis berkenaan akhirnya berbaloi.  

Ini kerana penyelidik-penyelidik telah menggunakan darahnya untuk mencipta rawatan ‘revolusi’ bagi merawat kes bisa ular.  

Projek Friede Tim bermula di YouTube, di mana dia memiliki saluran memaparkan tentang pengendalian ular.  

Seorang penyelidik daripada Universiti Columbia, Profesor  Peter Kwong memuji keberanian saitis tersebut.

“Saya percaya dalam  tempoh 10 hingga 15 tahun lagi,  kami akan ada rawatan berkesan untuk setiap kelas toksin bisa ular.  Antibodi Friede sungguh luar biasa, dia melatih  sistem imunnya untuk mengenali pelbagai jenis bisa ular,” kata Kwong.  

Harapan Kwong adalah untuk membangunkan anti-bisa universal yang mampu melawan semua jenis bisa ular berbahaya suatu hari nanti.  – AGENSI