BANGKOK – Seorang lelaki yang menghidu seluar dalam wanita yang disidai di luar sebuah apartmen di Pattaya akhirnya ditangkap, lapor portal berita The Pattaya News hari ini.
Lelaki itu diberkas selepas saudara-maranya memberi maklumat kepada polis.
Suspek juga bukan warga asing seperti yang dilaporkan pada awalnya.
Polis menahan suspek yang hanya dikenali sebagai Rungtawan itu di kediamannya di kawasan Naklua. Dia berusia 21 tahun.
Penahanan itu susulan maklumat saudara mara suspek bahawa dia ialah individu yang menghidu seluar dalam wanita seperti dilaporkan secara meluas oleh media tempatan.
Menurut polis, Rungtawan mengaku melakukan jenayah itu dengan alasan teruja berbuat demikian.
Bagaimanapun, Rungtawan menafikan mempunyai niat jahat terhadap pemiliknya.
Suspek kemudian dibawa ke tempat kejadian untuk melakonkan semula dan menunjukkan lokasi jenayah.
Polis mengarahkannya memohon maaf kepada mangsa turut hadir semasa lakonan tersebut. – AGENSI