KATHMANDU – Seorang pendaki Nepal berumur 55 tahun yang digelar ‘Lelaki Everest’ menawan puncak tertinggi dunia untuk kali ke-31 hari ini sekali gus memecahkan rekodnya sendiri.
“Tahniah kepada legenda, Kami Rita Sherpa kerana sampai ke puncak Everest buat kali ke-31, bilangan pendakian tertinggi dalam sejarah,” kata penganjur ekspedisi, Seven Summit Treks.
“Kami Rita Sherpa tidak memerlukan pengenalan. Beliau bukan sahaja wira pendakian negara, tetapi simbol global Everest itu sendiri,” tambahnya.
Sherpa pertama kali berdiri di puncak Gunung Everest pada 1994 ketika bekerja untuk ekspedisi komersial.
Sejak itu, beliau mendaki Everest setinggi 8,849 meter hampir setiap tahun sebagai pemandu arah.
Lebih 500 pendaki dan pemandu arah mereka sampai ke puncak Everest pada pendakian musim bunga tahun ini, mengambil kesempatan daripada cuaca yang baik.
Musim pendakian kali ini juga mencatatkan bilangan kematian paling sedikit dalam tempoh beberapa tahun. Dua pendaki, masing-masing warga Filipina dan rakyat India meninggal dunia di lereng Everest.
Nepal mengeluarkan lebih 1,100 permit pendakian pada musim ini, termasuk 458 untuk Everest dan memperoleh bayaran royalti lebih AS$5 juta(RM21.1 juta). – AFP