Lelaki dihukum penjara kerana sengaja gemuk

gemuk korea scaled

Tertuduh menggandakan pengambilan makanannya setiap hari sebelum ujian fizikal khidmat tentera dilakukan. – Pexels

SEOUL – Seorang lelaki di Korea Selatan dihukum penjara setahun kerana sengaja makan berlebihan supaya dirinya gemuk dalam usaha mengelak daripada menjalani khidmat tentera, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Lelaki berusia 26 tahun itu dilaporkan menggandakan pengambilan makanannya setiap hari sebelum ujian fizikal khidmat tentera dilakukan.

Dia dibantu oleh seorang rakannya yang dituduh bersubahat memasak makanan untuk lelaki tersebut.

Dokumen yang dikemukakan kepada Mahkamah Daerah Dongbu Seoul Timur menunjukkan bahawa tertuduh pada asalnya dinilai pada gred 2 dalam ujian fizikal awal pada Oktober 2017. Ketika itu, dia layak untuk kerahan tenaga.

Namun, pada Jun 2023, lelaki setinggi 169 sentimeter itu mendapat gred 4 kerana mempunyai berat 102.3 kilogram dan indeks jisim badan 35.8. Ia menjadikan dia tidak layak untuk perkhidmatan wajib tentera.

Tertuduh kemudian dibenarkan berkhidmat dalam posisi bukan pertempuran di sebuah agensi kerajaan, di mana dia boleh berulang-alik dari rumah.

Namun, pihak berkuasa mendapati peningkatan berat badannya luar biasa, sebelum siasatan mendedahkan percubaan untuk mengelak daripada menyertai kerahan tenaga mandatori  tanpa sebab yang munasabah. 

Dia dijatuhi hukuman penjara setahun yang ditunda selama dua tahun, manakala rakannya dijatuhi hukuman penjara enam bulan penjara yang juga ditunda dua tahun.

Ini bermakna mereka tidak perlu menjalani hukuman penjara sekiranya berkelakuan baik dan tidak melanggar undang-undang sepanjang tempoh dua tahun tersebut. – AGENSI