TAIPEI – Seorang lelaki berusia 42 tahun mencungkil mata jirannya yang berusia 59 tahun selepas bertengkar mengenai paip air bocor di antara rumah mereka, lapor portal berita MSNews semalam.
Kejadian berlaku di New Taipei City, Taiwan baru-baru ini.
Menurut portal berita ETtoday, lelaki dikenali sebagai Jian itu mula menyerang jirannya bernama Lian dengan menggunakan bata.
Lian pula menggigit lengan Jian bagi membalas dendam.
Jian kemudian memasukkan jarinya ke dalam mata Lian dan mencungkil bola matanya untuk melepaskan diri.
Anggota-anggota paramedik tiba di tempat kejadian dan menemui Lian dalam keadaan muka berlumuran darah dan rahang terkehel, lapor portal berita SETN.
Mereka tidak menyedari matanya yang tertutup telah dicungkil sehinggalah mangsa dihantar ke hospital.
Setelah mendapat rawatan, kakitangan perubatan mengesahkan mangsa buta secara kekal.
Jian ditahan di Pejabat Pendakwa Raya Daerah Keelung atas tuduhan cubaan membunuh dan diperintah membayar wang jaminan berjumlah NTD$120,000 (RM16,000). – AGENSI