LONDON – Empat kanak-kanak adalah antara kira-kira 50 orang yang cedera apabila sebuah kereta dipandu laju merempuh sekumpulan penyokong bola sepak yang meraikan kemenangan kelab Liverpool FC semalam, lapor akhbar The Sun UK.
Seorang lelaki berkulit putih warga Britain yang berusia 53 tahun dari Liverpool ditahan di tempat kejadian dan dipercayai pemandu kereta itu, kata polis.
Kira-kira 27 orang yang cedera dikejarkan ke empat hospital, dengan dua mengalami kecederaan serius dan 20 dirawat di tempat kejadian, demikian menurut Perkhidmatan Ambulans Barat Laut.
Polis Merseyside berkata, kejadian itu tidak diklasifikasikan sebagai keganasan dan pihak berkuasa tidak memburu suspek lain dalam siasatan.
Perkhidmatan kecemasan termasuk ambulans udara berpusu-pusu ke Water Street di pusat bandar Liverpool selepas menerima panggilan pada pukul 6.07 petang (waktu tempatan) ketika perarakan peminat hampir berakhir.
Pasukan bomba yang tiba menemukan empat orang terperangkap di bawah kenderaan termasuk seorang kanak-kanak, dan bertindak pantas untuk menyelamatkan mereka.
Dalam kejadian itu, sebuah kereta Ford Galaxy berwarna kelabu gelap meluru ke arah orang ramai yang meraikan kemenangan Liverpool FC.
Rakaman video yang dimuat naik di internet menunjukkan kenderaan itu memecut sebelum membelok tajam ke kanan, ke arah orang ramai.
Sejumlah orang tercampak ke tepi serta ada yang terperosok di bawah kenderaan tersebut.
Selepas merempuh berpuluh-puluh pejalan kaki sepanjang kira-kira 20 meter, kereta itu berhenti sebelum pemandunya ditahan di tempat kejadian.
Saksi melaporkan bahawa orang ramai memukul suspek dan memecahkan tingkap kereta sebelum polis tiba dan menahannya.
Insiden itu berlaku selepas The Reds menjulang trofi Liga Perdana kelmarin, yang menyaksikan puluhan ribu penyokong membanjiri pusat bandar Liverpool dengan menari dan mengibarkan bendera kelab itu. – AGENSI