Lee Jae-myung menang Pilihan Raya Presiden Korea Selatan

presiden korea flashhh scaled

Jae-myung mengangkat sumpah di Perhimpunan Kebangsaan di Seoul semalam. – AFP

SEOUL – Calon Parti Demokratik, Lee Jae-myung diisytiharkan sebagai Presiden Korea Selatan yang baharu selepas memenangi pilihan raya mengejut semalam sekali gus menerajui negara yang berada dalam huru-hara itu selepas pengisytiharan undang-undang tentera oleh pemimpin sebelumnya. 

Jumlah undi yang diperoleh Jae-myung membolehkan beliau jauh meninggalkan pencabar utamanya, Kim Moon-soo daripada Parti Kuasa Rakyat yang konservatif. 

Jay-myung secara rasmi menjadi Presiden tanpa melalui tempoh peralihan bagi menggantikan bekas Presiden, Yoon Suk-yeol, yang dipecat susulan percubaan melaksanakan undang-undang tentera. 

“Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) dengan ini mengisytiharkan Lee Jae-myung daripada Parti Demokrat sebagai presiden yang dipilih,” kata Pengerusi NEC, Roh Tae-ak.

Jay-myung menyandang jawatan itu ketika Korea Selatan sedang berdepan perang perdagangan global serta hubungan ketenteraan bersenjata nuklear antara Pyongyang dan Moscow. 

Dalam ucapan kepada penyokongnya awal hari ini, Jae-myung menggesa rakyat Korea Selatan untuk maju ke hadapan dengan harapan dan membuat permulaan baharu.

“Walaupun kami mungkin bertelagah seketika, mereka yang tidak menyokong kami masih lagi warganegara Republik Korea,” katanya.

Beliau juga berjanji untuk menjalankan rundingan, komunikasi dan kerjasama dengan Korea Utara untuk mencari jalan ke arah keamanan dan kemakmuran bersama. – AFP