Lebih 70 maut akibat penyakit misteri 

70 maut penyakit misteri

Gambar fail menunjukkan seorang ejen mendidik kanak-kanak tentang memerangi wabak mpox di Kamituga, wilayah Kivu Selatan pada 21 September lalu. – AFP

KINSHASA – Sekurang-kurangnya 70 orang termasuk sebilangan kanak-kanak meninggal dunia disebabkan sejenis penyakit tidak diketahui puncanya yang semakin merebak di Republik Demokratik Congo (DRC), lapor akhbar The Sun UK semalam. 

Menteri Kesihatan, Roger Kamba berkata, kebanyakan pesakit yang meninggal dunia itu mengalami masalah pernafasan. 

“Kematian direkodkan dalam masa dua minggu antara 10 hingga 25 November di wilayah Kwango, barat daya DRC. 

“Pihak berkuasa tempatan mengesahkan sebanyak 71 kematian berlaku dan 382 kes penyakit misteri ini direkodkan.

“Antara pesakit yang meninggal dunia di hospital, 10 mati akibat masalah kekurangan bekalan untuk pemindahan darah,  manakala 17 yang lain disebabkan oleh komplikasi pernafasan,” jelas Kamba. 

Tambahnya, mereka yang dijangkiti penyakit misteri itu mengalami simptom seperti demam, sakit kepala, batuk, anemia dan sukar bernafas. 

Pakar-pakar epidemiologi sedang mengumpul sampel dan melakukan analisis untuk mengenal pasti penyakit tersebut.

Seorang pegawai tempatan, Apollinaire Yumba mengeluarkan amaran dengan menggesa orang ramai untuk mengelak daripada menyentuh mayat pesakit kerana risiko dijangkiti. 

Yumba turut membuat rayuan terdesak untuk bekalan perubatan dan bantuan antarabangsa bagi menangani krisis kesihatan yang berlaku.- AGENSI