Lebih 1,500 banduan lolos dari penjara

banduan lolos

Sebuah kedai syarikat telekomunikasi rosak selepas diceroboh di Maputo kelmarin. – AFP

MAPUTO –  Lebih 1,500 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di Mozambique dengan mengambil kesempatan daripada pergolakan politik berterusan disebabkan perbalahan mengenai keputusan pilihan raya presiden, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

“Seramai 33 orang terbunuh dan 15 yang lain cedera dalam pertempuran dengan pasukan pengawal penjara,” kata Ketua Polis Mozambique, Bernardino Rafael dalam satu  sidang akhbar.

Tambahnya, kira-kira 150 lagi banduan yang melarikan diri itu telah ditangkap semula.

Tunjuk perasaan tercetus pada Isnin lalu sebagai tindak balas terhadap pengumuman mahkamah tertinggi Mozambique yang memutuskan bahawa parti pemerintah yang berkuasa sejak tahun 1975, Parti  Frelimo memenangi pilihan raya presiden pada Oktober lalu.

Rafael berkata, kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan menghampiri penjara di ibu negara, Maputo semalam. 

Ujarnya, banduan mengambil peluang dalam pergolakan itu untuk merobohkan tembok dan melarikan diri.

Seorang wartawan BBC berkata, Maputo kelihatan seperti bandar hantu semalam  dengan hampir semua premis perniagaan ditutup, manakala orang ramai berada di rumah untuk mengelak daripada terjebak dalam kekacauan paling teruk di bandar itu sejak 1975.

Pejabat Frelimo, balai polis, bank dan kilang telah dirompak, dirosakkan serta dibakar di seluruh negara. 

Sejak Isnin lalu, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam rusuhan tersebut, kata menteri dalam negeri lewat kelmarin. – AGENSI