TOKYO – Sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) mengalami masalah brek semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, semalam, lapor saluran berita Channel NewsAsia.
Seorang jurucakap SIA berkata, Penerbangan SQ638 mengalami masalah tersebut ketika mendarat pada pukul 7.38 pagi (waktu tempatan).
“Pasukan jurutera darat SIA menyelesaikan isu itu dan menggantikan salah satu tayar pada pesawat Boeing 787-10 tersebut,” tambah jurucakap berkenaan.
Asap putih dilaporkan keluar dari enjin pesawat sejurus ia mendarat, namun tiada kebakaran atau penumpang yang cedera.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam satu kenyataan berkata: “Berdasarkan penemuan awal, pesawat tersebut mengalami masalah teknikal pada sistem brek salah satu tayarnya.”
CAAS dan SIA sedang meneliti punca isu teknikal itu, tambah kenyataan sama.
Insiden itu memaksa landasan B ditutup selama kira-kira 50 minit dari pukul 7.40 pagi (waktu tempatan) bagi membolehkan pesawat berkenaan ditunda.
Menurut pegawai lapangan terbang, serpihan tayar ditemui di landasan.
Penerbangan SQ638 membawa 260 penumpang dan 16 anak kapal. – AGENSI