WASHINGTON – Sebuah pesawat pejuang Amerika Syarikat (AS) bernilai berjuta-juta dolar gagal mendarat di atas kapal pengangkut pesawat, Harry S. Truman lalu terjunam ke dalam Laut Merah, lapor media AS semalam, jet kedua hilang dari kapal itu dalam masa lebih seminggu.
Jet pejuang F/A-18F Super Hornet dua tempat duduk bernilai sekitar AS$67 juta (RM284 juta) itu terjatuh selepas percubaan untuk memperlahankannya semasa mendarat gagal, demikian CNN, Wall Street Journal dan media lain.
Seorang pegawai pertahanan memberitahu Institut Tentera Laut AS bahawa cangkuk pesawat gagal menangkap wayar penahan di atas kapal pengangkut pesawat.
“Penahanan gagal, menyebabkan pesawat itu terjatuh,” katanya sambil menambah, kedua-dua juruterbang sempat mengaktifkan kerusi anjal dan diselamatkan oleh sebuah helikopter.
Ini adalah F/A-18 kedua beroperasi di atas kapal induk USS Truman yang hilang dalam masa sekitar seminggu sahaja.
Sebuah jet F/A-18 jatuh dari kapal pengangkut sama pada 28 April lalu dalam kemalangan yang menyebabkan seorang kelasi cedera dan turut menyeret sebuah traktor penunda ke dalam laut.
Lewat tahun lepas, sebuah F/A-18 yang beroperasi di atas kapal USS Truman hilang selepas ia tersilap ditembak jatuh oleh kapal penjelajah peluru berpandu, USS Gettysburg. Kedua-dua juruterbang terselamat dalam kejadian itu.
USS Truman adalah salah satu daripada dua kapal pengangkut pesawat AS beroperasi di Asia Barat di mana tentera AS menyerang pemberontak Houthi di Yemen sejak pertengahan Mac lepas. – AFP