BANDAR HO CHI MINH, VIETNAM – Tindakan sekumpulan lelaki yang mengusung keranda secara mundar-mandir di hadapan Pasar Ben Thanh, Bandar Ho Chi Minh mencetuskan keresahan ramai sehingga menyebabkan campur tangan polis, lapor laman berita VNExpress.
Sebuah klip video tular di media sosial menunjukkan empat lelaki memakai pakaian serba hitam, menutup kepala dan memakai topeng muka mengusung keranda sambil berjalan dalam formasi bulatan.
Mereka turut berjalan di laluan motosikal sekali gus melanggar peraturan jalan raya.
Wakil Jawatankuasa Rakyat Daerah 1 mengesahkan bahawa selepas siasatan awal, kumpulan itu didapati mempromosikan laman web kedai pakaian.
Selepas laporan diterima, polis menahan Ho Ngoc Tuan, 25, yang mengarahkan penggambaran tersebut serta menyiarkan video itu di internet.
Seramai lapan individu lain yang terlibat turut disiasat kerana mengganggu ketenteraman awam.
Menurut ketua polis trafik Ben Thanh, video itu mendedahkan bahawa kumpulan tersebut melanggar undang-undang jalan raya dengan berjalan kaki di laluan salah dan menyeberang jalan tanpa memberi isyarat.
Peguam Persatuan Peguam HCMC, Tran Van Gioi berkata, tindakan kumpulan itu tertakluk di bawah pelanggaran dekri kerajaan berhubung pengiklanan yang menjejaskan ketenteraman awam, keselamatan lalu lintas dan keselamatan sosial.
Ia membawa hukuman denda 10 juta dong (RM1,700) hingga 20 juta dong (RM3,000).- AGENSI