KUALA LUMPUR – Kuasa penuh bagi meminda undang-undang berkaitan perkahwinan bawah umur masih di bawah kerajaan negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada masa ini hanya Kedah dan Selangor telah mengambil pendekatan dalam meminda Perlembagaan negeri berhubung isu tersebut.
“Itulah realiti di Malaysia. Kami boleh gesa dan beri tekanan, tetapi akhirnya kerajaan negeri akan bertanya, siapa kita untuk menentukan apa yang perlu mereka lakukan? Mereka lebih memahami keadaan di negeri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia anjuran Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), di sini hari ini.
Nancy berkata, berdasarkan perbincangan secara tidak formal dengan kerajaan negeri menunjukkan tiada pihak yang secara terbuka menyokong perkahwinan bawah umur.
Tambahnya, bagi merangka perubahan berkaitan isu tersebut, antara cabaran utama yang dihadapi ialah faktor budaya dan adat resam setempat.
“Saya sudah mendekati beberapa pemimpin negeri dengan harapan mendapatkan sokongan mereka. Namun, jawapan mereka tetap sama. Semua perlu faham, ia tidak semudah yang disangka,”katanya.
Terdahulu, beberapa kumpulan hak wanita termasuk Sisters In Islam (SIS) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas untuk membanteras perkahwinan bawah umur.
Sementara itu, Nancy berkata, kerajaan turut memastikan ibu muda tidak tercicir dalam pendidikan sekiranya remaja tersebut berada di bawah jagaan pihak kementerian.
“Kami ada kes seorang ibu muda di Kuching kini berusia 15 tahun. Dia tetap bersekolah dan melawat anaknya selepas tamat sesi persekolahan, walaupun mereka tidak tinggal di tempat yang sama,” katanya. – https://amiminerals.org/