GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin jualan sektor hartanah tempatan akan mencecah RM200 bilion menjelang hujung tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, ini memandangkan jumlah jualan sektor hartanah dalam negara telah mencapai RM115 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
”Sektor hartanah terus berkembang dengan sihat dan sukacita dimaklumkan, pada Januari tahun ini KPKT telah tetapkan jumlah sasaran jualan sektor hartanah sebanyak RM100 bilion, kita berasa amat bersyukur kerana dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah mencapai tahap indeks prestasi utama (KPI) itu.
“Jumlah jualan sektor hartanah dalam negara telah mencapai RM115 bilion dalam tempoh enam bulan pertama dan sekiranya segala berjalan dengan lancar, kita akan capai jualan hampir RM200 bilion menjelang hujung tahun ini,”katanya selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Residensi Bukit Gelugor (Ideal Residency) kepada para pembeli di sini hari ini.
Menurut Kor Ming, jumlah jualan sektor hartanah yang meningkat akan merancakkan lagi ekonomi dan dalam masa yang sama 200 industri lain yang berkait rapat dengan sektor hartanah turut mendapat impak positif.
“Jangan lupa, sektor hartanah berkaitan rapat dengan 200 industri termasuk kontraktor, subkontraktor, perabot, elektrik, perbankkan, perundangan dan pelbagai lagi,”katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, sebanyak 18 daripada 24 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ atau bermasalah di seluruh negara sebelum ini telah berjaya diselesaikan sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran kerajaan.
Katanya, terdapat enam lagi projek PR1MA iaitu di Melaka (dua projek), Negeri Sembilan (satu projek), Kelantan (satu projek), Kedah (dua projek) dijangka dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini.
”Projek sakit, ini dulu, bukan sekarang. Yang diwarisi oleh saya, oleh PR1MA adalah 24 projek. Sekarang tinggal enam sahaja saja, dan saya yakin ia akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini,”katanya.
Tambah Kor Ming, beliau akan memastikan kesemua projek sakit itu akan dipulihkan.
“Setakat Ogos 2024, PR1MA mempunyai 88 projek, bersamaan 54,137 unit di seluruh Malaysia yang berada dalam pelbagai fasa pembangunan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 61 projek, yang terdiri daripada 41,321 unit telah berjaya disiapkan, manakala 27 projek yang terdiri daripada 12,816 unit masih dalam fasa pembinaan dan perancangan,”katanya. -https://amiminerals.org/.