Korban banjir selatan Thailand meningkat lagi  

JIR scaled

PENDUDUK mengharungi air banjir di luar Masjid Pusat Pattani dalam wilayah Pattani, selatan Thailand semalam. – AFP 

BANGKOK – Angka kematian akibat banjir di selatan Thailand meningkat kepada 25 orang, kata beberapa pegawai hari ini selepas hujan lebat diramalkan turun selama beberapa hari lagi.

Sebanyak 12 wilayah di selatan Thai dilanda banjir sejak akhir November lalu, menyebabkan 410,451 orang terjejas, kata agensi pengurusan bencana negara di laman Facebook rasminya.

Agensi berkenaan mengemas kini angka kematian 9 orang yang dilaporkan pada Sabtu lepas.

Lebih 22,000 orang pula hilang tempat tinggal akibat banjir di wilayah Pattani, Narathiwat, Songkhla dan Yala, kata jabatan perhubungan awam kerajaan Thailand.

Pemilik ladang ternakan ayam di Songkhla, Suwas Bin-Uma memberitahu badan penyiaran kerajaan, Thai PBS bahawa banjir menenggelamkan semua ternakannya melibatkan 10,000 ekor ayam. 

“Saya rugi sekurang-kurangnya 3 juta baht (RM389,831),” katanya.

Dalam pada itu, agensi meteorologi Thai memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan hingga Khamis ini.

Bangkok telah mengerahkan beberapa pasukan penyelamat untuk membantu penduduk terjejas dan menyalurkan bantuan 50 juta baht (RM6.5 juta) kepada setiap wilayah yang terkesan.

Hari ini, Kabinet Thailand turut meluluskan pembayaran sebanyak 9,000 baht (RM1,170) untuk membantu setiap keluarga yang terjejas banjir. 

Di negara jirannya, Malaysia, pegawai-pegawai pengurusan bencana menyatakan hari ini bahawa lebih 94,000 orang masih belum pulang ke rumah masing-masing selepas berpindah akibat banjir, manakala lima orang dilaporkan terkorban.

Banjir besar di seluruh Thailand pada 2011 membunuh lebih 500 orang dan mengakibatkan berjuta-juta kediaman rosak. – AFP