Kongres AS sokong kebocoran makmal China punca Covid-19

19 scaled

GAMBAR fail 2 Februari menunjukkan seorang gadis menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer BioNtech. – AFP 

WASHINGTON – Barisan wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) semalam merumuskan siasatan selama dua tahun mengenai pandemik Covid-19 yang membunuh 1.1 juta rakyatnya dengan menyokong teori koronavirus berkemungkinan bocor daripada sebuah makmal China.

Laporan setebal 520 muka surat oleh sebuah jawatankuasa Dewan Perwakilan yang kini dikuasai Parti Republikan berhubung pandemik koronavirus, meneliti tindak balas di peringkat negeri dan persekutuan di samping asal usul pandemik serta usaha vaksinasi.

“Laporan ini akan membantu AS dan dunia meramalkan pandemik seterusnya, bersiap sedia untuk pandemik akan datang, melindungi diri kita daripada pandemik tersebut dan mencegah pandemik masa depan,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Brad Wenstrup dalam sepucuk surat kepada Kongres.

Agensi-agensi persekutuan AS, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan saintis seluruh dunia membuat kesimpulan berbeza mengenai asal usul Covid-19, manakala tiada konsensus dicapai tentang isu tersebut.

Kebanyakan mereka percaya virus itu merebak daripada haiwan di China, namun analisis perisikan AS menyatakan tahun lalu bahawa Covid-19 mungkin diubah suai secara genetik dan terlepas dari sebuah makmal kajian virus di bandar Wuhan di mana kes manusia pertama muncul.

Panel Kongres itu menerima pakai teori kebocoran makmal selepas bersidang sebanyak 25 kali, melakukan lebih 30 soal siasat dan meneliti lebih sejuta muka surat sejumlah dokumen.

Dalam pada itu, laporan berkenaan mengundang kemarahan China hari ini.

Beijing melabelkannya sebagai ‘tiada kredibiliti’ dan menuduh AS menggunakan pandemik Covid-19 untuk tujuan ‘manipulasi politik’. 

“Keputusan saintifik autoritatif yang dirumuskan oleh pasukan bersama pakar China-WHO menyatakan bahawa kebocoran makmal adalah ‘sangat  tidak mungkin’,” kata jurucakap kementerian luar Beijing, Lin Jian pada sidang akhbar rutin hari ini. – AFP