SEPANG – Tiga lelaki dari Melaka berjaya diselamatkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tanpa sebarang tebusan berjumlah kira-kira RM49,000 setiap seorang seperti yang dituntut sindiket pemerdagangan manusia di Laos.
Kesemua mangsa berusia 20 tahun tiba di negara ini semalam disambut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.
Salah seorang dikenali Roni berkata, Roni mendakwa, mereka tidak tahu ditipu sindiket penjenayah itu yang menawarkan konon banyak pekerjaan di Thailand dengan gaji bulanan RM4,000.
“Saya sendiri diberi tiket bas ekspres percuma dari Melaka Sentral menuju ke Terminal Bersepadu Selatan di ibu negara sebelum dibawa pula seorang ejen ke KLIA,” katanya.
Dia hanya menyedari ditipu apabila diarah menaiki bot menyeberangi sungai dari Chiang Rai, Thailand ke Segi Tiga Emas di Laos yang dikuasai sindiket penipuan warga China.
Di sana, dianggarkan ada hampir 50 rakyat Malaysia yang ditempatkan dalam syarikat dikendalikan samseng tersebut dan mereka dikerah menyasarkan para pelanggan Barat.
Setiap mangsa ujarnya, ditipu menyertai platform e-dagang dengan perlu membayar caj dari AS$3,000 hingga AS$10,000 (kira-kira RM13,400 hingga RM44,700).
“Setiap hari kami dipaksa kerja dari pukul 3 petang hingga 4 pagi dengan rehat satu jam tetapi gaji pula tiada dan kadang-kadang diberi makanan tidak halal di kantin,” jelas Roni. – https://amiminerals.org/o