HANOI – Seorang lelaki di wilayah Dong Nai, Vietnam meletakkan sebuah kereta di atas pagar rumahnya untuk menarik perhatian orang ramai, lapor laman berita VNExpress.
Pham Anh Duc, 50, berkata, ia merupakan kereta pertama yang dimiliki keluarganya sejak lebih 20 tahun, sebelum mereka meninggalkan kampung halaman di tengah negara tersebut untuk menetap di Dong Nai.
Keluarga itu sudah mempunyai kereta baharu dan disebabkan kenderaan lama itu sudah bertahun-tahun tidak digunakan, dia mahu melakukan sesuatu dengannya sebagai tanda kenang-kenangan.
“Tiada tempat letak kereta, jadi saya memutuskan untuk meletakan kereta lama di atas pagar rumah. Pekerja-pekerja menggunakan beberapa rasuk besi untuk meletakkan kereta itu,”kata Duc.
Beberapa individu singgah di rumah Anh Duc untuk merakam gambar kereta itu dan menyiarkannya di media sosial.
Namun, beberapa pihak menyatakan kebimbangan bahawa kereta itu mungkin terjatuh dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai. – AGENSI