Keluarga Allahyarham Datuk Seri Johari cadang ambil tindakan undang-undang

WhatsApp Image 2024 08 18 at 15.28.20

MUHAMMAD SHAFIEQ HAFIZILMAN (baju hijau, tengah) bersama pelajar tahfiz yang menyertai majlis tahlil dan doa selamat Allahyarham Johari dan kesemua mangsa yang terlibat di Kampung Sum Sum, Janda Baik di Bentong hari ini.

BENTONG – Keluarga allahyarham Datuk Seri Johari Harun bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali syarikat pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos tahun lalu.

Tragedi tersebut menyebabkan Johari yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang bersama sembilan yang lain termasuk seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing) terkorban.

Anak allahyarham, Muhammad Shafieq Hafizilman Johari, 30, berkata, tindakan itu akan diambil selepas hasil siasatan nahas udara membabitkan pesawat Beechraft kelmarin mendedahkan ketidakpatuhan dan kesilapan dalam pengendalian pesawat berkenaan.

“Pihak keluarga mungkin akan ambil tindakan terhadap pengendali syarikat terbabit.

“Difahamkan ada waris mangsa yang lain akan buat tindakan sama, cuma menunggu masa,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Tahlil dan Doa Selamat Allahyarham Johari dan kesemua mangsa yang terlibat di Kampung Sum Sum dekat Janda Baik di sini hari ini.

Muhammad Shafieq Hafizilman berkata, mereka sekeluarga menerima dengan hati terbuka dan reda walaupun mengakui masih terkejut dengan hasil laporan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

“Bila lihat hasil laporan penuh yang dikeluarkan ia berpunca berdasarkan prosedur operasi standard yang tidak diguna pakai secara elok supaya dapat menjamin keselamatan rakyat yang ingin menggunakan penerbangan khususnya secara peribadi,”katanya.-Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *