LONDON – Beberapa karya yang dipamerkan di pusat seni Somerset House, London, termasuk lukisan Van Gogh dan Monet, tidak terjejas selepas bangunan bersejarah itu terbakar semalam.
Kira-kira 125 anggota bomba dan 20 jentera dikerah untuk memadamkan kebakaran besar di bahagian bumbung bangunan itu.
Menurut Bomba London (LFB), api yang marak pada bumbung bangunan berusia lebih 450 tahun itu berjaya dikawal sebelum pukul 7 malam (waktu tempatan).
“Kebakaran di Somerset House sudah terkawal dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” kata LFB di laman X.
Tambah jurucakapnya, tiada karya seni di bahagian bangunan bersejarah itu yang terjejas semasa kejadian, dan ia akan ditutup ‘sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak’.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” tambahnya.
Rakaman video memaparkan bangunan itu mengeluarkan asap tebal ke ruang udara, berhampiran Sungai Thames dan Jambatan Waterloo.
Sementara itu, Pengarah Somerset House Jonathan Reekie berkata: “Masih terlalu awal untuk mengulas mengenai keadaan bangunan itu.” – AFP/AGENSI