Karim mahu pulihkan maruah olahraga

Karim Ibrahim

KARIM

-Prestasi paling buruk sejak 2017
-Empat individu rebut kerusi presiden

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI

KEPUTUSAN menawarkan diri bagi merebut jawatan sebagai Presiden Olahraga Malaysia (MA) bukanlah hanya bermotifkan jawatan semata-mata buat bekas individu No. 1 badan induk itu, Datuk Karim Ibrahim.

Sebaliknya, beliau memiliki agenda tersendiri untuk kembali mengangkat martabat sukan olahraga negara yang dianggap semakin merosot dalam beberapa temasya serta kejohanan di peringkat antarabangsa.

Atas rasa tanggungjawab, Karim menawarkan diri untuk kembali menerajui badan induk berkenaan di kala atlet-atlet negara sedang dalam persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan.

Karim berkata, penurunan prestasi dipamerkan skuad olahraga negara sejak akhir-akhir ini adalah terburuk sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sehingga menyebabkan beliau terpanggil untuk ‘menyelamatkan’ sukan tersebut.

“Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada atlet-atlet serta pegawai yang meminta saya untuk menerajui MA. Saya mengambil keputusan mencalonkan nama saya dan akan bertanding dengan sahabat, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Selepas kita berjaya dalam beberapa kejohanan, termasuk di Sukan SEA Malaysia (2017), kita mula melihat olahraga kian merosot. Apa yang boleh dikatakan adalah prestasi paling buruk sejak 2017.

“Dengan itu, saya mengambil keputusan untuk bertanding sebagai presiden bagi melaksanakan apa yang patut dibuat sebelum ini. Bagaimanapun, mereka keluarkan saya pada tahun 2019,”katanya.

Perebutan jawatan No. 1 kali ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Shahidan sebagai penyandang, Timbalan Presiden MA, Datuk Mark William Ling, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Karim.

Meskipun turut bertanding bagi jawatan timbalan presiden, namun Karim menjelaskan, sekiranya mahu melakukan perubahan secara menyeluruh, beliau perlu kembali menerajui badan induk berkenaan.

“Kalau kita mahu buat apa-apa perancangan, perlu jadi No. 1 (presiden). Bukan saya mahu salahkan Datuk Shahidan tetapi kita cuma mahu berikan yang terbaik untuk olahraga, khasnya kepada atlet,”ujarnya.