WASHINGTON – Sebuah kapal digelar ‘kapal paling pelik di dunia’ kerana boleh tenggelam dan muncul semula secara menegak untuk bertukar menjadi makmal di lautan, lapor akhbar The Sun UK semalam.
FLIP atau secara teknikalnya dikenali sebagai Platform Instrumen Terapung ialah kapal penyelidikan perintis yang dikendalikan selama lebih 50 tahun oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).
Kapal unik sepanjang 108 meter itu mampu berputar 90 darjah dalam keadaan seperti karam di laut untuk menyediakan makmal eksperimen yang stabil dan mudah alih.
Dibina pada tahun 1962 dengan pembiayaan daripada Pejabat Penyelidikan Tentera Laut (ONR), FLIP membantu beberapa generasi saintis dan ahli oseanografi untuk lebih memahami misteri laut.
Ini termasuk gelombang dalaman, interaksi udara-laut dan perambatan bunyi jarak jauh.
Segala-galanya yang dipasang pada platform berputar 90 darjah apabila kapal itu ‘terbalik’ di laut, termasuk semua kelengkapan, daripada penjana ke tandas. Ia berpusing pada sudut tepat.
FLIP bagaimanapun telah ditamatkan perkhidmatannya pada Ogos 2023 dan ditunda ke Mexico untuk dimusnahkan.
Bagaimanapun, firma reka bentuk dasar laut yang membangunkan habitat manusia bawah air generasi seterusnya, DEEP berkata, kakitangannya menuju ke Mexico untuk menyelamatkan FLIP.
“Misi kami adalah untuk mewujudkan manusia akuatik, dengan membolehkan spesies kita hidup, bekerja dan berkembang maju di bawah air,” kata Ketua Pegawai Eksekutif DEEP, Kristen Tertoole. – AGENSI