ISTANBUL – Sebuah kapal kargo seberat 5,215 tan metrik terbalik di sebuah pelabuhan di Istanbul, Turkiye, disebabkan muatan tidak seimbang, lapor akhbar Metro UK semalam.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan detik kapal Amnah condong ke sisi pada awal pagi semalam dan terbalik pada jarak hanya beberapa meter dari kru yang terapung di atas laut.
Lima anak kapal sebelum itu sempat terjun ke laut untuk menyelamatkan diri dan berenang ke tempat selamat.
Seramai 10 lagi daripada mereka dengan pantas melompat ke atas pelabuhan dan berlari menyelamatkan diri ke arah bertentangan dengan kapal tersebut.
Pegawai Turkiye berkata, salah seorang pekerja mengalami luka ringan dan telah dibawa ke hospital.
Berdasarkan rakaman CCTV, ketika kapal itu mula condong ke satu sisi, kontena keluli dilihat meluncur ke arah pinggir pelabuhan.
Video menunjukkan berpuluh-puluh kontena jatuh seperti domino dan terhumban ke dalam air laut yang bergelora.
Amnah kemudian terbalik ke sisinya dan mula tenggelam dalam beberapa saat.
Amnah dibina pada 1996 dan beroperasi sehingga baru-baru ini untuk syarikat perkapalan dari Russia, Fesco. – AGENSI