BANGKOK – Seorang pemandu van sekolah didenda selepas seorang kanak-kanak terjatuh dari pintu belakang kenderaan dipandunya, lapor laman berita Thaiger.
Kejadian di wilayah Nakhon Si Thammarat itu dirakam menerusi kamera papan pemuka kereta milik seorang lelaki, Supachai Saetuang yang berada di belakang van sekolah tersebut.
Dalam video berkenaan, van tersebut bergerak selepas berhenti seketika di tengah jalan.
Pintu belakangnya terbuka secara tiba-tiba, menyebabkan seorang budak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun terjatuh ke atas jalan.
Kanak-kanak itu bernasib baik apabila kereta dipandu Supachai hanya bergerak perlahan, menyebabkan dia terselamat daripada dilanggar.
Supachai kemudian membunyikan hon bagi memberi amaran kepada pemandu van berkenaan sebelum pemandunya memberhentikan kenderaan itu pada jarak kira-kira 100 meter.
Dalam masa sama, seorang wanita dilihat berlari ke arah kanak-kanak itu bagi memeriksa keadaannya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Selepas memberi keterangan kepada polis, pemandu van tersebut membuat permohonan maaf kepada kanak-kanak itu dan keluarganya.
Katanya, dia mengesyaki kunci pintu belakang van mengalami masalah, menyebabkan ia terbuka secara tiba-tiba.
Selepas siasatan dijalankan, pemandu tersebut didenda, namun nilainya tidak didedahkan. – AGENSI