BRASILIA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terselamat selepas ‘disedut’ ke dalam sebuah lubang konkrit ketika bermain air banjir di sebatang jalan di Brazil, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Ketika kejadian, dia sedang bermain bersama rakan-rakannya sebelum terjatuh ke dalam lubang di Fortaleza selepas hujan lebat.
Pusaran air kemudian ‘menyedut’ kanak-kanak itu sekali gus mencetuskan panik daripada wanita dan lelaki lain yang berada dekat tempat kejadian.
Kanak-kanak itu kemudian ditemui masih hidup oleh penduduk tempatan dekat sebatang sungai pada jarak kira-kira 30 meter dari lubang tersebut.
Bapanya yang namanya tidak didedahkan berkata: “Anak perempuan saya baik-baik saja. Dia kuat dan sihat.”
Pihak bomba memberi amaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berjalan dalam air banjir. – AGENSI