‘Kami akan baiki jalan berlubang’ – Majlis Daerah Cambridgeshire

patung lubang

Coxall meletakkan separuh ‘badan’ patung itu di dalam lopak dan menggunakan batu bata untuk menstabilkannya. – Facebook

LONDON – Seorang lelaki di Castle Camps, England meletakkan patung manusia dalam keadaan terbalik di dalam lopak jalan kawasan kejiranannya untuk menarik perhatian pihak berkuasa tempatan supaya membaiki laluan tersebut, lapor akhbar New York Post semalam.

James Coxall, 41, membuat helah itu Ahad lalu selepas masalah jalan berlubang ‘menghantui’ penduduk sejak lapan bulan lepas.

“Keadaan lubang yang dalam dan besar mengakibatkan pemandu terpaksa berhenti atau melanggarnya,” kata Coxall.

Bagi memastikan pentadbir tempatan mengambil perhatian isu tersebut, dia dan keluarganya memasukkan beberapa helai kain ke dalam seluar jeans lama dan memakaikan sepasang kasut pada patung itu.

Mereka meletakkan separuh ‘badan’ patung itu di dalam lopak dan menggunakan batu bata untuk menstabilkannya, sebelum memuat naik gambar itu di Facebook.

“Penduduk suka melihat patung itu. Saya sekadar suka-suka,” tambahnya.

Usaha Coxall berhasil apabila Majlis Daerah Cambridgeshire berjanji menghantar pegawai bagi memeriksa jalan itu.

“Pembaikan akan dibuat mengikut keperluan,” katanya. – AGENSI