TOKYO – Gabenor Tokyo, Yuriko Koike mengumumkan sistem kerja baharu yang akan memberikan pilihan kepada kakitangan awam untuk mengambil cuti rehat tiga hari seminggu, lapor akhbar The Mainichi kelmarin.
“Kami akan terus menyemak cara kerja secara fleksibel supaya tiada sesiapa perlu melepaskan kerjaya mereka kerana urusan hidup seperti bersalin dan penjagaan anak,” kata Koike pada pembukaan sesi tetap keempat Perhimpunan Metropolitan Tokyo 2024.
Kerajaan Tokyo menetapkan jam bekerja selama 155 jam dalam tempoh empat minggu dan mempunyai sistem masa fleksibel,membolehkan kakitangan awam memilih masa untuk memulakan dan menamatkan hari kerja mereka.
Pada masa ini, sistem itu membenarkan pekerja mengambil cuti rehat pada satu hari bekerja bagi setiap tempoh empat minggu.
Bermula tahun fiskal seterusnya pada April 2025, ia akan ditukar kepada satu hari bekerja setiap minggu. – AGENSI