Kahwin tetap kahwin, suspek dalam tahanan nikah di IPD

nikah balai polis

Suspek dinikahkan di Masjid Al-Ikhlas Ibu Pejabat Polis Metro Jakarta Pusat. – Istimewa

JAKARTA – Seorang suspek kes curi melangsungkan pernikahan di ibu pejabat polis daerah (IPD) ketika dia berada dalam tahanan, lapor laman berita Detik semalam.

Ketua Polis Metro Jakarta Pusat, Senior Komisioner Susatyo Purnomo Condro berkata, pihak ibu pejabat membantu suspek melangsungkan majlis pernikahannya dengan lancar.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Pusat, Asisten Komisioner Muhammad Firdaus pula berkata, majlis berlangsung di Masjid Al-Ikhlas Ibu Pejabat Polis Metro Jakarta Pusat pada pagi semalam.

“Unit VI Ranmor Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Pusat memudahkan dan mengiringi acara akad nikah antara suspek bernama AS dan isterinya, EP,” katanya.

Tambah  Muhammad Firdaus, keluarga kedua-dua belah pihak hadir di majlis perkahwinan itu.

“Akad nikah dipimpin oleh pendaftar dan diiringi kedua-dua keluarga serta anggota Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Pusat. 

“Proses akad nikah berjalan lancar, manakala suspek diisytiharkan sah sebagai suami kepada EP dengan disaksikan oleh kedua-dua keluarga,” jelasnya. – AGENSI