BANDAR RAYA NEW YORK – Sebuah penerbangan milik Turkish Airlines mendarat cemas selepas juruterbangnya meninggal dunia semasa menerbangkan pesawat tersebut, lapor akhbar New York Post.
Penerbangan TK204 berlepas dari Seattle, Washington sejurus selepas pukul 7 malam (waktu tempatan) kelmarin dalam penerbangan ke Istanbul.
Pesawat itu terpaksa berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pukul 5.57 pagi (waktu tempatan) semalam susulan insiden tersebut, demikian menurut laman web pemantauan pesawat, FlightAware.
Menurut jurucakap Turkish Airlines, Yahya Ustun, juruterbang bernama Ilcehin Pehlivan, 59, itu rebah semasa penerbangan.
“Selepas usaha pertolongan cemas tidak berjaya, kru penerbangan, seorang lagi juruterbang dan pembantu juruterbang memutuskan untuk melakukan pendaratan cemas. Namun, dia meninggal dunia sebelum mendarat,” kata Yahya.
Tambahnya, Ilcehin berkhidmat dengan Turkish Airlines sejak 2007 dan baru sahaja lulus pemeriksaan kesihatan pada Mac lalu. Dia tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan. – AGENSI