SINGAPURA – Sejumlah pengunjung terkejut apabila melihat seekor jerung besar berenang di tepi Pantai Palawan Sentosa, Singapura, lapor laman berita Stomp semalam.
Jerung tersebut dikesan pada Ahad lalu pada waktu petang.
Seorang lelaki dikenali sebagai Andy merakam video yang memaparkan sejumlah orang berdiri di pantai dan melihat ikan itu berenang dekat dengan mereka.
“Sebelumnya, kami melihat jerung yang lebih kecil, iaitu kira-kira 40 sentimeter. Kami berasa ingin tahu dan terkejut, tetapi tidak mengendahkannya kerana ia kecil.
“Kemudian, datang seekor jerung blacktip sepanjang 1.5 meter.
“Kami berasa takut dan semua orang yang berada di dalam air mula menjerit. Mereka segera keluar dari air.
“Anggota penyelamat berhampiran melihat kekecohan dan segera mengibarkan bendera merah sebagai amaran tidak boleh berenang.
“Jerung itu berlegar-legar di sekitar kawasan Pantai Palawan,”ujarnya.
Sementara itu, pihak pengurusan Perbadanan Pembangunan Sentosa berkata, pihaknya mementingkan keselamatan para pengunjung dengan memantau keselamatan perairan itu. – AGENSI