Jepun kerah 2,000 bomba padam kebakaran hutan terbesar

000 36Z76DU

SEBUAH helikopter menggugurkan bom air ketika memadamkan kebakaran hutan dekat bandar Ofunato, wilayah Iwate kelmarin. – AFP

TOKYO – Lebih 2,000 anggota bomba cuba memadamkan kebakaran hutan terbesar dalam tempoh tiga dekad di Jepun, kata beberapa pegawai hari ini ketika sekitar 4,600 penduduk masih menerima nasihat berpindah.

Seorang mangsa terkorban  dalam kebakaran hutan di rantau Iwate, utara Jepun pada minggu lalu.

“Walaupun kebakaran ini sedikit sebanyak akan merebak, kami mengambil semua langkah untuk memastikan api tidak memusnahkan kediaman penduduk,” kata Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba di Parlimen.

Kebakaran dekat bandar Ofunato itu memusnahkan kawasan seluas 2,100 hektar sejak Khamis lalu, kata Agensi Pengurusan Bencana Kebakaran.

Anggota bomba dari 14 rantau Jepun termasuk pasukan dari Tokyo terus berusaha memadamkan api. Mereka dibantu oleh 16 helikopter termasuk daripada pihak tentera.

Api dianggarkan merosakkan 84 bangunan menjelang semalam, namun butiran terperinci mengenainya masih belum diumumkan.

Kira-kira 2,000 orang meninggalkan zon kebakaran dan berlindung bersama saudara-mara serta rakan, manakala 1,200 yang lain tinggal di pusat-pusat perlindungan sementara.

Ofunato mencatatkan taburan hujan cuma 2.5 milimeter bulan lalu sekali gus memecahkan rekod hujan paling rendah pada 1967 iaitu 4.4 milimeter. – AFP