Jelitawan Ukraine sasar rekod dunia baharu

Mahuchikh

MAHUCHIKH menganggap siri Liga Berlian di Xiamen minggu depan sebagai permulaan baik menghadapi aksi musim ini. – AFP

XIAMEN –  Ratu lompat tinggi dunia, Yaroslava Mahuchikh mengakui aksi Liga Berlian kini setanding dengan Kejohanan Dunia dari segi cabaran, tekanan dan kepentingan sekali gus menjadikannya medan penting untuk menguji kekuatan menjelang musim utama 2025.

Jelitawan Ukraine berusia 22 tahun itu bakal membuat kemunculan pertama musim ini dalam aksi pembukaan Liga Berlian di Xiamen, China pada 26 April dan mahu mengukuhkan dominasi selepas menamatkan musim lalu dengan rekod dunia 2.10 meter (m).

“Saya sangat teruja untuk kembali beraksi. Siri Liga Berlian memberi saya peluang terbaik untuk bersaing dengan atlet hebat dunia dan saya anggapnya sebagai persiapan sebenar ke Kejohanan Dunia di Tokyo,” kata Mahuchikh.

Dia turut menyifatkan Xiamen sebagai lokasi istimewa dalam kariernya selepas mencatat lompatan setinggi 2.02m di sana tahun lalu sambil menyifatkan sokongan penonton tempatan sebagai luar biasa.

“Segalanya berjalan dengan baik sejak Kejohanan Dunia Dalam Dewan di Nanjing. Saya tahu saingan di Xiamen nanti akan sengit, tapi saya harap boleh buka musim dengan keputusan yang meyakinkan,” katanya.

Biarpun tumpas kepada dua pencabar hebatnya dari Australia, Nicola Olyslagers dan Eleanor Patterson di pentas dalam dewan baru-baru ini, Mahuchikh langsung tidak memikirkan soal membalas dendam, sebaliknya menjadikan kekalahan itu sebagai motivasi tambahan.

Menyentuh tentang rekod dunia yang kini digenggamnya, Mahuchikh tidak menolak kemungkinan dapat memperbaharuinya musim ini.

“Saya mahu terus mencabar diri. Sasaran saya ialah 2.11m atau mungkin 2.12m.

“Saya terinspirasi dengan (Armand) Duplantis (pemegang rekod lompat galah dunia), dia buat kita rasa macam rekod boleh dipecahkan pada bila-bila masa. Saya juga mahu punya mentaliti begitu,” jelasnya. – AGENSI