JAKARTA – Dua individu menjadi perhatian orang ramai apabila diterima sebagai pekerja tetap di sebuah pejabat di Indonesia hanya kerana terjatuh ke dalam parit, lapor portal berita Zon Satu semalam.
Klip video yang tular baru-baru ini memaparkan beribu-ribu orang beratur di hadapan pejabat PT Letsolar Energi Indonesia di Batam, Kepulauan Riau bagi mendapatkan sesi temuduga.
Orang ramai sanggup beratur seawal pukul 5.20 pagi (waktu tempatan) untuk menyerahkan resume mereka, meskipun pejabat mula beroperasi hanya pada pukul 8 pagi.
Kesesakan itu menyebabkan dua individu tersebut terjatuh ke dalam parit.
Ketua Polis Sagulung, Iptu Rohandi Tambunan berkata, dua individu yang terjatuh ke dalam parit telah diterima untuk bekerja.
“Pihak pengurusan mengaku terdapat beberapa kesalahan dalam proses pemilihan sehingga menyebabkan situasi tidak terkawal.
“Mereka juga tidak menyangka jumlah orang yang hadir mencecah ribuan,” tambahnya. – AGENSI