TOKYO – Seorang lelaki di wilayah Shizuoka, Jepun mengahwini ibu kepada rakan sekolahnya selepas jatuh cinta pandang pertama dengan wanita itu ketika acara perjumpaan ibu bapa dan guru, lapor laman berita Mothership kelmarin.
Isamu Tomioka, 32, semasa program bual bicara ‘Shinkon-san Irasshai!’ mendedahkan kisah cintanya dengan isterinya, Midori, 53.
Menurut Tomioka, selepas pertama kali melihat Midori semasa zaman persekolahan, dia sudah menyukai wanita itu, namun perasaan tersebut dipendam.
Selepas 10 tahun, dia sekali lagi bertemu Midori, menyebabkan Tomioka mengajak wanita tersebut untuk keluar makan malam dan meluahkan perasaannya.
Midori yang ketika itu bergelar ibu tunggal, menolak lamaran Tomioka mentah-mentah dan menganggap lelaki itu tidak serius.
Namun, Tomioka tidak berputus asa, malah selama 30 hari berturut-turut, dia mengajak Midori keluar bertemu janji.
Pada hari ke-30, Tomioka meluahkan perasaannya sekali lagi, namun Midori tetap menolaknya kerana bimbang mengenai penerimaan anak dan masyarakat sekeliling.
Nasib menyebelahi mereka apabila anak Midori merestui hubungan itu dan meminta ibunya mengutamakan kebahagiaan sendiri.
Meskipun pada awalnya ibu dan bapa Midori menentang sekeras-kerasnya hubungan tersebut, mereka akhirnya merestuinya.
Pasangan dengan jarak usia 21 tahun tersebut akhirnya berkahwin pada 2023. – AGENSI