Jambatan tertinggi dunia dijangka siap 2025

Jambatan tinggi01 1

JAMBATAN tertinggi di dunia kini dalam pembinaan di Guizhou. – Foto Xinhua

BEIJING – Gambar pemandangan dari udara baharu menunjukkan sebuah jambatan tertinggi di dunia sedang giat dibina di China, lapor portal berita Daily Express UK kelmarin.

Dinamakan Jambatan Ngarai Besar Huajing, struktur yang dibina di wilayah Guizhou, barat daya China itu dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan selama 70 minit untuk menyeberangi ngarai Huajing sebelum ini kepada hanya satu minit.

Ia dibina pada ketinggian 624.84 meter dari Sungai Bedpan, setinggi dua Menara Eiffel di Paris.

Projek mega itu dijangka siap pada 2025 selepas hampir tiga tahun dan ratusan jurutera terlibat dalam proses perancangan dan pembinaannya.

Jambatan itu memiliki panjang 2.81 kilometer.

Ketua jurutera projek itu, Liu Hao berkata, pekerja yang terlibat dalam pembinaan jambatan itu berumur 35 tahun dan ke bawah.

“Golongan muda cenderung menerima perkara baharu dengan lebih mudah tanpa dipengaruhi oleh pengalaman. Mereka juga mempunyai keupayaan kuat untuk melakukan perubahan,” kata Hao.

Menurut laman web kejuruteraan, Highestbridges.com, sebanyak 18 daripada 20 jambatan tertinggi di dunia berada di China. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *