Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dijangka sesak Khamis ini

SESAK

Choon Foo (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang anggota polis pada Perhimpunan Sempena Peringatan Sambutan Hari Polis Ke-218, Peringkat IPD Gua Musang di Dewan Tanjung, Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Laluan pintu masuk ke Kelantan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini dijangka sesak ekoran pertambahan bilangan kenderaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, laluan itu dijangka menjadi tumpuan perantau selepas dua laluan iaitu Jalan Gua Musang-Lojing dan Jalan Gua Musang-Tasik Kenyir ditutup akibat lubang benam sehingga menyebabkan jalan tersebut terputus.

Katanya, jalan Gua Musang-Kuala Lipis merupakan satu-satunya pintu masuk melalui daerah ini dan pihaknya sudah bersiap sedia untuk menghadapi pertambahan kenderaan perantau yang melalui jalan berkenaan.

“Kita jangka Kelantan akan mula menerima perantau dari luar pada Khamis ini. Justeru, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sudah melakukan persiapan yang cukup dengan bantuan agensi luar.

“Kerjasama dilakukan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Daerah Gua Musang untuk membantu polis bagi memastikan kelancaran lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Sempena Peringatan Sambutan Hari Polis Ke-218, Peringkat IPD Gua Musang di Dewan Tanjung di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, perantau juga digalakkan menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuh Raya Timur Barat untuk masuk ke Kelantan bagi mengurangkan kesesakan.

Katanya, pihak polis juga memerlukan kerjasama masyarakat supaya lebih bersabar dalam menghadapi kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke kampung halaman masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Choon Foo berkata, hanya 10 peratus anggota yang dibenarkan bercuti pada hari raya dalam usaha untuk melancarkan pergerakan lalu lintas dan menjaga keselamatan di daerah ini.

“Lebih 200 anggota dan pegawai IPD Gua Musang akan bertugas sepanjang musim perayaan ini,” ujarnya. – https://amiminerals.org/.