BANGKOK – Sebuah kenderaan utiliti sukan(SUV) di Thailand menyeret sebuah motosikal di sepanjang jalan ketika melarikan diri selepas didakwa melanggar penunggangnya, lapor portal berita MSNews hari ini.
Insiden itu dirakam dan disiarkan di platform TikTok di mana ia merekodkan lebih 2.7 juta tontonan.
Klip video dimuat naik pada Khamis lalu menunjukkan SUV itu dipandu di sebatang jalan pada waktu malam.
Percikan api keluar dari kenderaan itu apabila motosikal yang terperangkap di bawahnya bergesel dengan permukaan jalan raya.
Individu yang merakam insiden tersebut membunyikan hon meminta pemandu SUV berhenti.
Ketika SUV itu menukar lorong, motosikal yang tersepit terkeluar dari bawah kenderaan tersebut.
Menurut saluran berita Thairath, tiada butiran tambahan diberikan tentang bila atau di mana kejadian itu berlaku. – AGENSI