MANCHESTER – Dunia tinju kembali hangat apabila Tyson Fury memberi bayangan bakal kembali ke gelanggang selepas dia mengakui menjalani sesi latihan intensif dua kali sehari sekali gus mencetuskan semula impian pertembungan mega menentang Anthony Joshua.
Biarpun mengumumkan persaraan buat kali keempat pada Januari lalu selepas dua kekalahan berturut-turut kepada Oleksandr Usyk, juara heavyweight kontroversi itu dilihat semakin serius untuk membuat kemunculan semula.
Fury yang pernah menggegarkan dunia dengan rekod tanpa kalahnya, muncul dalam ‘mood’ cergas dan penuh semangat menerusi satu video di Instagram dan menunjukkan dirinya sedang berjoging di sepanjang pantai Morecambe.
“Sesi kedua hari ini, sungguh indah di sini. Saya suka berlari, suka bersenam. Dua kali sehari, tujuh hari seminggu. Saya bertuah dapat berlatih sebegini dan menikmatinya,” katanya kepada 6.8 juta pengikutnya.
Kenyataan itu pantas mencetuskan spekulasi, terutama mengenai potensi pertarungan blockbuster menentang Joshua iaitu satu pertembungan yang dianggap pelengkap dalam sejarah tinju dunia.
Menerusi nilai pertarungan dianggarkan mencecah £300 juta (RM173.4 juta), ia bukan sahaja berstatus super fight, malah berpotensi menjadi antara pertarungan paling mahal dalam sejarah sukan itu.
Meskipun kedua-duanya kini bukan lagi pemegang gelaran dunia, reputasi dan pengaruh mereka masih kekal besar, menyebabkan beberapa penganjur dikhabarkan kembali mengaktifkan rundingan. – AGENSI