Isu bantut, kemurungan anak GISBH ditangani

WhatsApp Image 2024 11 20 at 2.20.10 PM

Nancy (tengah) pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Kuala Lumpur hari ini. – Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Isu kebantutan dan kemurungan dialami oleh anak-anak GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang kini berada dalam tempoh pemulihan akan ditangani menerusi langkah proaktif oleh kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehubungan itu, kanak-kanak yang terlibat akan dijadualkan menjalani pemeriksaan di pusat-pusat kesihatan khas.

“Pemeriksaan kesihatan tersebut bakal melibatkan kaunselor serta pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

“Buat masa ini, KKM sedang menjalankan kajian menyeluruh untuk mengenal pasti punca masalah kebantutan yang dihadapi oleh kanak-kanak ini termasuklah meneliti jenis makanan yang diberikan kepada mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia anjuran Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, Pasukan Khas Pemulihan Anak-Anak GISB Holdings (GISBH) Selangor mendedahkan bahawa ramai anak yang dikaitkan dengan kumpulan itu, mengalami masalah kesihatan termasuk terbantut.

Dapatan itu diperoleh hasil saringan dan pemeriksaan intensif dijalankan Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) dari 4 hingga 8 November lalu terhadap lebih 200 anak berkait GISBH.

Sementara itu, Nancy berkata, Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini telah mencapai 173,279 peserta melibatkan murid dan pelajar terdiri daripada 326 sekolah.

Katanya, program tersebut yang dianjurkan di Kedah, Melaka dan Terengganu telah mencapai sasarannya sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan terhadap perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di seluruh negara.

Beliau berkata, melalui program tersebut, JKM memberi pendedahan kepada mereka mengenai hak, sentuhan selamat dan tidak selamat selain memberi panduan kepada kanak-kanak berhubung tindakan perlu diambil jika berada dalam situasi bahaya.

“Justeru program ini akan diteruskan (tahun depan) kerana sekolah ini ada kira-kira 10,000 lebih (di seluruh negara). Jadi kita perlu pergi semua sekolah.

“Kenapa kita capai melebihi sasaran lebih 300 kerana kita gabungkan sekolah. Contohnya sekolah rendah dan sekolah menengah atau sekolah lain. Kalau tak, kita tidak akan capai sasaran,”katanya. – https://amiminerals.org/