TOKYO – Seorang lelaki China menarik perhatian ketara apabila berkongsi bahawa dia bergantung penuh kepada isteri warga Jepunnya dari segi kewangan, lapor akhbar South China Morning Post semalam.
Dia berjaya mengumpulkan lebih 1 juta pengikut di platform Douyin dalam masa sebulan sahaja.
Lelaki yang umurnya masih tidak didedahkan itu menetap di Jepun selama lapan tahun.
Dia menggambarkan dirinya sebagai seorang lelaki biasa dari Beijing tetapi isterinya yang dikenali dengan nama Cina, Fenghua, bukan sahaja berpendidikan tinggi dan bekerja tetapi juga berasal dari keluarga Jepun yang kaya.
Awal tahun ini, dia berhenti kerja dan menghabiskan masa bermain permainan video di rumah, manakala isterinya menanggung semua perbelanjaan rumah tangga.
Butiran pekerjaannya sebelum ini tidak didedahkan.
Dalam masyarakat Jepun, lelaki biasanya merupakan pencari nafkah utama, manakala wanita menumpukan pada tugas rumah tangga namun, kisahnya menyanggah norma tersebut.
Berikutan perbuatannya itu, seorang netizen memberikan komen sinis: “Anda benar-benar memahami wanita.”
Netizen lain menulis: “Sejujurnya, ia bukan masalah yang buruk. Saya juga mahukannya!” – AGENSI