JAKARTA – Seorang wanita di Gowa, wilayah Sulawesi Selatan ditangkap oleh penduduk kampung sedang berdua-duaan dengan seorang lelaki ketika suaminya menjalani hukuman penjara, lapor laman berita Grid.ID.
Menurut ketua penduduk setempat, Jamil Daeng Matu, wanita yang hanya dikenali sebagai MI itu sering dilihat membawa masuk seorang lelaki ke rumahnya.
Perbuatan itu menimbulkan rasa curiga penduduk yang sedia maklum bahawa suami MI sedang menjalani hukuman penjara.
Perbuatan tidak bermoral kedua-dua mereka akhirnya terbongkar apabila penduduk menyerbu rumah MI dan menemui pasangan itu sedang berdua-duaan.
“Kami melihat lampu rumah dipadamkan dan penduduk sudah lama menunggu di luar tetapi pintu tidak dibuka.
“Akhirnya, kami terpaksa menyerbu masuk ke rumah itu dan melihat MI dalam keadaan tidak berpakaian,” kata Jamil.
Penduduk kemudian menghubungi polis, manakala Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bontomarannu, Inspektor Irzal Makkarawa berkata, kedua-dua pelaku kini ditahan untuk disiasat. – AGENSI