TEL AVIV– Menteri Luar Gideon Sa’ar melancarkan kempen diplomatik menyeluruh dengan menghubungi lebih 12 negara untuk meminta bantuan memadamkan kebakaran hutan terbesar dalam sejarah Israel.
Kenyataan pejabat Sa’ar memaklumkan bahawa menteri berkenaan telah menghubungi rakan sejawatnya di Britain, Perancis, Republik Czech, Sweden, Argentina, Sepanyol, Macedonia Utara dan Azerbaijan.
Sa’ar turut menghubungi banyak negara lain untuk meminta bantuan.
Menurut laporan, Tel Aviv meminta juga bantuan daripada Greece, Cyprus, Croatia, Itali dan Bulgaria ketika anggota-anggota bomba dan petugas lain bergelut untuk memadamkan api yang semakin marak.
Majlis Keselamatan Negara (NSC) mengesahkan bahawa tiga pesawat ‘Superscooper’ Canadair dari Itali dan Croatia sedang dalam perjalanan untuk membantu operasi memadam kebakaran dari udara.
Menteri Luar Romania memaklumkan Sa’ar bahawa Bucharest akan menghantar dua pesawat hari ini iaitu sebuah untuk memadamkan kebakaran dan sebuah lagi bagi memberikan sokongan logistik.
Hari ini juga, Menteri Luar Sepanyol José Manuel Albares memberitahu Sa’ar bahawa Madrid akan menghantar dua pesawat pemadam kebakaran, dan Perancis berkata ia akan menghantar satu pesawat.
Negara-negara lain bagaimanapun menyatakan ‘kesediaan untuk membantu’ termasuk Ukraine dan Ecuador.
Pasukan pemadam kebakaran antarabangsa pula dijangka mula beroperasi hari ini.
Skuadron pemadam kebakaran udara Elad Israel dan helikopter polis bekerja sepanjang hari untuk memadamkan api, manakala Tentera Udara Israel bersedia untuk memberikan sokongan operasi segera jika diperlukan.
Pihak Berkuasa Palestin juga menawarkan menghantar pasukan pemadam kebakarannya sendiri untuk membantu memerangi kebakaran berhampiran Baitulmaqdis, demikian menurut sumber keselamatan yang bercakap dengan The Times of Israel.
Namun, Israel masih belum menjawab secara rasmi tawaran itu. – AGENSI