TEL AVIV – Kabinet keselamatan Israel bersiap sedia untuk memutuskan sama ada akan menerima cadangan gencatan senjata bagi perangnya dengan Hezbollah di Lebanon, kata seorang pegawai semalam.
Pegawai tersebut mendedahkan perkara itu ketika Whita House mengumumkan bahawa ia percaya perjanjian untuk menamatkan pertempuran di Lebanon semakin hampir.
Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendesak dalam beberapa hari kebelakangan ini supaya gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah diwujudkan selepas kedua-dua pihak terlibat dalam perang berskala penuh pada akhir September lalu.
Ketika perbincangan gencatan senjata semakin sengit, Kementerian Kesihatan Lebanon berkata, serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 31 orang semalam, kebanyakannya di selatan negara tersebut.
Bercakap dengan syarat enggan namanya disiarkan, seorang pegawai Israel memberitahu AFP bahawa kabinet keselamatan akan memutuskan pada petang hari ini (waktu tempatan) mengenai perjanjian tentang gencatan senjata.
Jurucakap Majlis Keselamatan AS, John Kirby menyatakan keyakinan terhadap prospek gencatan senjata, tetapi berkata, rundingan sedang berjalan.
“Kami percaya kita telah sampai ke tahap ini di mana ia semakin hampir (gencatan senjata),”katanya kepada pemberita.
Lewat semalam, jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu saluran berita CNN bahawa dia telah meluluskan gencatan senjata ‘secara prinsip’.
“Netanyahu memberi isyarat mengenai kemungkinan meluluskan gencatan senjata dengan Hezbollah semasa rundingan keselamatan dengan pegawai Israel malam Ahad,” kata sumber itu. – AFP