Israel, Hezbollah setuju gencatan senjata

000 36NB2GR

ASAP menjulang naik ke udara di lokasi serangan udara tentera Israel yang menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut semalam. – AFP

TEL AVIV – Kabinet Israel meluluskan gencatan senjata dengan Hezbollah di Lebanon semalam, manakala Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengucapkan terima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden atas penglibatannya dalam memeterai perjanjian tersebut.

Pejabat Netanyahu berkata, 10 menteri mengundi untuk menyokong dan seorang menentang perjanjian itu.

“Netanyahu memberitahu Biden bahawa dia menghargai pemahamannya iaitu Israel akan mengekalkan kebebasan bertindak dalam melaksanakannya,” kata pejabat Netanyahu.

Sementara itu, Biden berkata, gencatan senjata tersebut akan berkuat kuasa awal hari ini (waktu tempatan).

“Gencatan senjata akan bermula pada 4 pagi (waktu tempatan),” kata Biden yang bercakap di White House selepas pejabat Netanyahu mengumumkan perkara tersebut. – AFP