Israel akan isytihar kedaulatan ke atas Tebing Barat

israel kedaulatan

Anggota keselamatan Israel berjalan melewati jentolak yang merobohkan sebuah rumah milik rakyat Palestin di kampung Yatta, Tebing Barat yang diduduki, pada 6 November lalu. – AFP

TEL AVIV – Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich menyatakan bahawa 2025 akan menjadi tahun di mana Rejim Zionis mengisytiharkan kedaulatan ke atas wilayah Tebing Barat yang didudukinya  sekali gus menamatkan ‘ancaman’ negara Palestin, lapor laman berita TRT World semalam.

Bercakap pada mesyuarat Parti Agama Zionisme yang diketuainya, Smotrich mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kemenangan beliau dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), minggu lalu.

Menurutnya, kemenangan Trump memberikan peluang berharga kepada Israel serta berkata, semasa penggal pertama pemerintahan Trump dari 2017 hingga 2021, Presiden AS itu telah mengetuai beberapa langkah penting.

Ia termasuk memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmuqaddis, mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel, mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan dan ‘menghalalkan’ penempatan haram di Tebing Barat.

“Kami semakin hampir mengisytiharkan  kedaulatan ke atas penempatan(haram)  di Yudea dan Samaria (Tebing Barat) sebelum pentadbiran (Joe) Biden.

“Sekarang, sudah tiba masanya untuk bertindak,” katanya.

Menteri sayap kanan yang mengingkari undang-undang antarabangsa itu berkata, ‘satu-satunya cara untuk menghapuskan ancaman negara Palestin adalah dengan mengisytiharkan kedaulatan Israel ke atas penempatan di Tebing Barat.

Tambah Smotrich, dia telah mengarahkan Bahagian Penempatan dan Pentadbiran Awam, kedua-duanya di bawah Kementerian Pertahanan Israel, untuk mengadakan persiapan bagi infrastruktur yang diperlukan bagi melaksanakan dasar itu. – AGENSI