Iran lancar lebih 180 peluru berpandu

000 36HU79F

Peluru berpandu Iran dipintas oleh Israel berhampiran bandar utara, Baqa al-Gharbiya semalam. – AFP

TEL AVIV – Iran melancarkan lebih 180 peluru berpandu ke arah Israel dalam serangan berskala besar yang meningkatkan lagi kebimbangan perang serantau berskala penuh, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Berjuta-juta orang bergegas mencari tempat perlindungan sebelum letupan menerangi langit malam di Tel Aviv dan Baitulmuqaddis. Paramedik berkata, dua cedera ringan akibat terkena serpihan.

Siren serangan udara kedengaran di seluruh Israel pada kira-kira pukul 7.30 malam (waktu tempatan) semalam, ketika tentera Israel memberi amaran bahawa peluru berpandu dilancarkan dari Iran.

Dalam beberapa minit, letupan kuat kedengaran di Baitulmuqaddis ketika peluru berpandu terbang di ruang udara dan dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel.

Tentera Israel berkata, kebanyakan peluru berpandu dipintas dengan bantuan Amerika Syarikat tetapi terdapat ‘sebilangan kecil’ yang meletup. 

Pengawal Revolusi Iran berkata, peluru berpandu mengenai sasarannya.

Tambahnya, ia melancarkan serangan balas atas pembunuhan pemimpin sekutunya, Hizbollah dan Hamas, serta seorang jeneral tertinggi Iran.

Serangan peluru berpandu itu berlaku beberapa jam selepas tentera Israel memulakan pencerobohan darat di selatan Lebanon, di perkampungan sempadan. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *