Iran, AS saling berbalas ancaman serangan

iran as

Khamenei (kiri) dan Trump (kanan). – AFP

TEHRAN – Iran mengancam Amerika Syarikat (AS) dengan tindak balas tegas sekiranya Presiden Donald Trump mengebom negara itu sebagai respons kepada rundingan perjanjian nuklear yang terhenti, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Kementerian Luar Iran berkata, ia mengeluarkan kenyataan itu selepas Trump berikrar untuk mengebom Iran jika Tehran tidak membuat perjanjian nuklear baharu.

Nota kenyataan tersebut diserahkan kepada diplomat Switzerland oleh jurucakap Iran, yang mengecam dan menolak kenyataan Trump mengenai perjanjian nuklear itu.

“Diplomat Iran mengutuk dan menolak kenyataan provokatif yang melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Kementerian Luar Iran di platform X.

Tambahnya, mereka secara rasmi menyampaikan nota amaran rasmi yang menekankan penegasan dan tekad segera Iran untuk bertindak balas secara tegas terhadap sebarang ancaman.

Diplomat Switzerland akan memastikan surat tersebut diserahkan kepada Washington, demikian menurut kementerian berkenaan.

Trump sebelum ini memberi tarikh akhir dua bulan apabila beliau menghantar surat pada 7 Mac lalu, yang menggesa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei untuk terlibat dalam rundingan.

Beliau juga memberi amaran tentang akibat buruk jika Iran menolak tawaran AS dan memajukan program nuklearnya.

Namun, Iran menolak cadangan Washington untuk mengadakan rundingan langsung pada hujung minggu, menyebabkan Trump berang dan mengancam untuk menyerang Iran.

Trump memberitahu saluran berita NBC: “Jika mereka tidak membuat perjanjian, akan berlakunya pengeboman. Ia adalah pengeboman seperti yang mereka tidak pernah lihat sebelum ini.”

Khamenei kemudian membalas ancaman Trump, dengan mengatakan bahawa AS akan menerima padah sekiranya mereka memutuskan untuk bertindak.

“Permusuhan dari AS dan Israel sentiasa ada.

“Mereka mengugut untuk menyerang kami, yang mana kami rasa berkemungkinan besar tidak akan berlaku.

“Namun, jika mereka melakukan sebarang perkara buruk, mereka pasti akan menerima padah yang teruk,” katanya. – AGENSI