Instagram, WhatsApp kembali pulih selepas alami gangguan

meta gangguan

Gangguan pada Instagram dan WhatsApp sudah pulih sepenuhnya. – Getty Images

WASHINGTON  – Laman Instagram dan aplikasi WhatsApp kembali pulih selepas gangguan global menjejaskan berpuluh-puluh ribu pelanggan platform media sosial milik syarikat Meta tersebut semalam, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Facebook yang turut mengalami gangguan sama  bagaimanapun masih belum mengesahkan sama ada semua isu telah diselesaikan.

“Terima kasih kerana bersabar dengan kami! Kami hampir 99 peratus selesai, hanya melakukan beberapa pemeriksaan terakhir. Kami memohon maaf kepada mereka yang terjejas akibat gangguan ini,” kata Meta dalam aplikasi X.

Lebih 22,000 orang melaporkan masalah dengan Facebook petang semalam (waktu tempatan) dan lebih 18,000 lagi bergelut untuk menggunakan WhatsApp, demikian menurut laman penjejakan gangguan,  Downdetector.

Masalah tersebut dilaporkan di United Kingdom, sebahagian Eropah, Asia, Australia, Amerika Selatan dan Amerika Syarikat.

“Kami kembali, selamat bersembang!” kata WhatsApp di X.

“Dan kami kembali. Maaf kerana menunggu, dan terima kasih kerana bersabar dengan kami,”kata Instagram.

Gangguan bermula sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) semalam, demikian menurut Downdetector. 

Tidak lama selepas pengguna melaporkan masalah yang mereka alami, Meta berkata, pihaknya menyedari tentang isu teknikal yang menjejaskan keupayaan sebilangan pengguna untuk mengakses aplikasi miliknya.

Pelbagai isu dilaporkan termasuk tidak dapat menggunakan aplikasi sama sekali atau hantaran di ‘feed’ tidak berubah. – AGENSI