Ingatkan patung, lelaki nyaris putus lengan swafoto dengan buaya gergasi 

buaya viral

Mangsa menjerit kesakitan apabila lengannya berada dalam rahang reptilia tersebut. – ViralPress

MANILA – Seorang lelaki di Filipina berdepan detik cemas apabila lengannya hampir putus digigit seekor buaya gergasi selepas dia memanjat ke dalam sangkar reptilia itu untuk berswafoto, lapor akhbar The Sun UK semalam. 

Kejadian berlaku di Taman Mangrove Kabug dan zoo Wetlands dalam wilayah Zamboanga Sibugay pada 28 April lalu. 

Pelawat berusia 29 tahun itu dilaporkan memanjat pagar untuk berswafoto dengan seekor buaya sepanjang 4.57 meter (15 kaki) yang disangka patung. 

Situasi tenang bertukar ngeri apabila buaya bernama Lalay itu tiba-tiba menerkam mangsa dan menariknya ke dalam air. 

Rakaman dimuat naik di media sosial menunjukkan mangsa menjerit meminta bantuan selepas lengannya berada dalam rahang haiwan tersebut. 

Sarjan Polis, Joel Sajolga berkata, mangsa terperangkap di dalam sangkar selama 30 minit sebelum diselamatkan oleh penjaga Lalay. 

“Mangsa kemudian dibawa ke hospital berdekatan dan menerima lebih 50 jahitan.

“Tindakan lelaki itu adalah bodoh kerana dia bukan sahaja membahayakan dirinya tetapi orang lain,” tambahnya. – AGENSI